Di Turki, Ebru adalah antara seni Islam
yang termasyhur sejak ratusan tahun dahulu. Selain seni membuat kilim,
permaidani daripada benang biasa dan sutera, memintal benang dari kapas
mahupun bulu biri-biri, mewarnakan benang-benang daripada bunga-bungaan
liar, mengait jarum satu mahupun dua, kanavice atau jahitan silang pangkah, melukis di atas porselen, Ebru adalah antara yang teringin sekali saya cuba.
Sejak menonton rancangan Ikbal Gürpinar ile Hayatin Içinden suatu
pagi semasa bersarapan pagi, saya teruja betul melihat teknik yang
ditunjukkan untuk membuat Ebru. Allahim, saya kagum melihat bagaimana
mereka melukis bunga tulip dan daun-daun di atas air khas itu. (Oh, ada
hujan batu turun saat ini! Subhanallah!) Beberapa hari setelah itu saya
menonton lagi siaran tentang seni Ebru di rancangan TV yang lain, saya
bertambah jatuh cinta untuk mengkaji tentang Ebru, sekaligus mencubanya.
Bagaimana boleh saya mengetahui senang
sukarnya Ebru jika tidak mencuba, saya terbayang-bayang tangan saya
memegang jarum tajam dan mencelup warna ke atas permukaan air. Oh Allah!
Isnin lalu Mehmet akhirnya membawa saya ke sebuah studio hobi di sini untuk mendapatkan set Ebru!
Allahim!
“Tangkai ini diperbuat daripada batang ros dan berusnya diperbuat daripada ekor kuda, bukan?” tanya saya.
“Betul Puan..” jawab perempuan itu tersenyum.
“Boleh ajarkan cara-cara menyediakan airnya?”
Perempuan itu menerangkan satu persatu,
dan saya kemudian memintanya mencatat di atas sehelai kertas. Ini resepi
penting, saya mesti menyimpan kemas prosedurnya.
Saya mendapatkan kelengkapan yang diperlukan, cuma yang tiada adalah berus seperti sikat, cat warna kuning dan hijau.
“Bagaimana Haizam?”
“Tak mengapa. Saya ingin cuba dahulu dengan apa yang ada tersedia..”
Petang itu kami pulang ke rumah, dan
hati saya sangat riang. Allahim. Saya mengemas meja dan membuka ruang
untuk projek Ebru. Namun hari sudah petang, hendak ambil Ertugrul di
sekolah, makanan malam perlu disediakan, baju di ampaian belum berangkat
dan banyak kerja rumah perlu diselesaikan.
Esoknya saya membaca kertas yang
tercatat cara penyediaan air untuk Ebru itu. Rupa-rupanya air itu perlu
direhatkan sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam sebelum dicampur
serbuk khas. Allahim!
Yup, sehari lagi perlu dinanti untuk projek Ebru!
Semalam setelah Ertugrul ke sekolah,
setelah usai solat Zuhur, saya memulakan projek Ebru. Serbuk dibancuh,
dan dibiar sehingga ia benar-benar pekat seperti yang disarankan. Oh
Ebru, di awal-awal lagi sudah engkau wajahkan perlunya kesabaran!
Nah! Setelah 1 jam menanti, saya mula
mencelupkan jarum dengan cat warna merah ke atas permukaan air.
Subhanallah, ia mengembang lembut. Saya celupkannya sekali lagi, ia
mengembang lebih luas. Saya cuba membentuk bunga tulip, membentuk daun.
Allahim, Ebru sangat menenangkan!
Daripada 100 helai kertas, saya sudah menghabiskan 9 helai dengan pelbagai rupa!
Ia tidak semudah yang dilihat, air perlu cukup tenang untuk dilukis di
atasnya. Jika tidak, motif yang dicipta tidak menjadi seperti yang kita
kehendaki. Saya masih sangat amatur dan sedang memahami mengapa warna
pecah, bagaimana mendiamkan air supaya dengar cakap, memegang jarum dengan betul, dan ya, 1001 perkara lagi yang perlu dipelajari.
Beli satu set ebru nya berapaan? Dimana belinya? Mau dongg..
BalasHapus